Anda Berada Di

  • Matlamat Hidup
  • Perbankan Seharian Anda
  • Tawaran & Promosi
  • Perkhidmatan Digital
  • Bantuan & Sokongan
  • Pautan Segera

Kami faham bahawa pengurusan kewangan perniagaan bukanlah satu perkara mudah. Namun demikian, setiap peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu arif tentang kaedah pengurusan kewangan perniagaan yang betul.

 

Hal ini untuk memastikan kelangsungan serta kelestarian perniagaan. Sehubungan dengan itu, kami senaraikan empat tips pengurusan penting yang boleh anda praktikkan.

Rancang Kewangan Perniagaan dengan Teliti

Sebagai seorang peniaga pintar, anda perlu tahu cara terbaik menguruskan perbelanjaan untuk mengelakkan kerugian yang besar. Konteks perbelanjaan ini meliputi semua transaksi perniagaan dan pentadbiran.

Perbelanjaan ini lazimnya akan direkodkan di dalam penyata untung rugi. Ringkasnya, terdapat dua jenis perbelanjaan utama dalam perniagaan:

 

1) Perbelanjaan Tidak Berulang

 

  • Kos tubuhkan perniagaan

    Kos ini merangkumi apa-apa perbelanjaan yang digunakan untuk tujuan tubuhkan entiti perniagaan anda. Contohnya, yuran profesional, yuran pendaftaran syarikat, dan sebagainya.

 

  • Kos sediakan premis perniagaan

    Kos ini pula berkaitan dengan penyediaan serta lokasi premis. Selain daripada deposit utiliti, sewaan, dan pemasangan internet atau telefon, anda juga merancang perbelanjaan untuk pembaikan serta pengubahsuaian premis jika perlu.

  • Kos peralatan perniagaan

    Seterusnya, kos ini melibatkan kos aset dan peralatan seperti mesin, perabot, kenderaan, dan pelbagai kelengkapan pejabat.

  • Kos promosi dan pemasaran

    Akhir sekali, anda juga perlu membayar kos pemasaran seperti brosur perkhidmatan, profil syarikat, bahan pengiklanan, dan sebagainya.

 

2) Perbelanjaan Operasi dan Perbelanjaan Modal

 

Perbelanjaan operasi merupakan kos untuk kendalikan perniagaan. Manakala, perbelanjaan modal pula ialah kos untuk kembangkan perniagaan.

 

Bagaimana untuk anda tahu jumlah kos yang diperlukan? Hal ini bergantung pada ramalan pendapatan perniagaan anda dalam suatu tempoh tertentu.

 

Tidak lupa juga, terdapat perbelanjaan untuk kos lain, antaranya:

 

  • Gaji

  • Inventori

  • Penyelenggaraan

  • Pengangkutan

  • Promosi bulanan

  • KWSP dan PERKESO

Tentukan Jumlah Dana yang Diperlukan

Dengan mengetahui jumlah dana yang diperlukan, anda boleh mencari dana yang secukupnya. Demi mencapai matlamat masa depan perniagaan anda, wajib untuk anda tahu dua jenis sumber dana yang boleh diperoleh iaitu:

 

1) Sumber Dalaman

 

  • Melalui Tabungan Sendiri

    Cara ini merupakan cara terbaik buat peniaga PKS kerana anda hanya menggunakan modal sendiri dan tidak perlu berurusan dengan pihak luar. Namun, anda mungkin tidak mampu untuk menyelia semua perbelanjaan hanya melalui tabungan sendiri.

  • Sumbangan Modal bersama Rakan Kongsi

    Jika anda mempunyai rakan kongsi, anda boleh berkongsi beban kewangan bersama mereka. Anda sewajarnya menyediakan surat perjanjian untuk menentukan tanggungjawab, sumbangan modal, dan nisbah keuntungan setiap rakan kongsi.

 

2) Sumber Luaran
 

  • Skim Pinjaman Usahawan

    Satu alternatif yang boleh anda pertimbangkan adalah mengambil skim pinjaman usahawan. Semak dan pilih kemudahan pinjaman yang paling sesuai untuk perniagaan anda.

  • Keluarga dan Rakan-Rakan

    Anda juga boleh meminjam modal daripada rakan dan keluarga untuk memulakan perniagaan. Walau bagaimanapun, hati-hati kerana perkara ini boleh mengakibatkan ketegangan perhubungan.

  • Pembiayaan Bank Perniagaan

    Kaedah ini memberikan anda sokongan kewangan yang mampan, efektif, dan selamat. Dengan pembiayaan PKS CIMB, anda boleh memilih jenis pembiayaan yang sesuai dengan keperluan anda.

Rekod Setiap Aktiviti Operasi Perniagaan

Asas kepada setiap perniagaan adalah mencatat setiap transaksi perniagaan dalam buku khas, atau buku tunai. Data yang direkodkan adalah amat penting dan berikut merupakan antara keperluan merekodkan transaksi perniagaan anda:

 

  • Ketahui Kedudukan Kewangan Perniagaan

    Anda boleh menilai prestasi kewangan perniagaan dengan tepat menggunakan buku tunai. Dan anda boleh tahu jika pembaziran berlaku atau tidak!

  • Analisa dan Perancangan Kewangan

    Buku tunai membenarkan anda melakukan analisa dan perancangan kewangan. Hal ini memastikan kewangan perniagaan anda kekal kukuh dan stabil.

  • Kenal Pasti Risiko Kerugian
     

Selain itu, anda boleh mengesan sama ada perniagaan anda menghasilkan keuntungan atau kerugian. Tetapi bagaimana? Hanya pantau aliran transaksi duit keluar dan masuk jika anda mahu elak kerugian. 

Ambil Berat tentang Cukai Perniagaan dan Lantik Akautan

Jika anda seorang perniaga, wajib untuk anda membayar cukai. Apa itu cukai perniagaan? Ianya hasil keuntungan daripada menjalankan perniagaan, dagangan dan sebagainya yang layak dikenakan cukai.

 

Anda bertanggungjawab untuk:

 

  1. Daftar sebagai pembayar cukai

  2. Dapatkan Borang Nyata Cukai Pendapatan

  3. Lengkapkan Borang B (milikan tunggal) atau Borang P (perkongsian)

  4. Sediakan dokumen penting seperti penyata akaun, penyata sewa, dan sebagainya

  5. Dapatkan ejen cukai bertauliah jika perlu

  6. Rujuk dokumen sokongan seperti resit derma, pelepasan, rebat, dan sebagainya

  7. Patuhi arahan bayaran ansuran (CP500)

 

Ingat, lantik akautan bertauliah untuk menguruskan kewangan perniagaan anda supaya tiada kesilapan dan system perakaunan anda kekal teratur.

Uruskan Kewangan Perniagaan dengan Bijak

Buat anda yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, kami berharap artikel ini dapat mengatasi kebimbangan anda. Jika anda mahukan lebih artikel seperti ini, kunjungi platform blog kami dan dapatkan pelbagai tips pengurusan kewangan yang efektif.

 

Artikel ini dibawa kepada anda oleh CIMB sebagai salah satu usaha berterusan untuk meningkatkan tahap peka kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Pengetahuan dan pemahaman kewangan adalah kunci dalam membuat keputusan kewangan yang bermakna dan tepat,sekaligus menambah baik kesejahteraan kita semua. Tujuan ini juga selaras dengan niat CIMB untuk memberi peningkatan kepasa pelanggan dan masyarakat.

 


#Simpanan #Menyimpan #KebebasanKewangan&Pemerkasaan