Anda Berada Di

  • Matlamat Hidup
  • Perbankan Seharian Anda
  • Tawaran & Promosi
  • Perkhidmatan Digital
  • Bantuan & Sokongan
  • Pautan Segera

 

Baru bekerja dan ingin menunaikan zakat buat kali pertama? Kami sediakan panduan mudah untuk anda. Teruskan membaca!

 

Apa Itu Zakat Pendapatan?

Sebelum itu, mari kita kembali kepada asas dengan memahami definisi serta konsep zakat terlebih dahulu.

 

Zakat merupakan sebuah kewajipan dan  amalan untuk membersihkan harta anda dengan mengagihkan sebahagian kecil harta anda kepada mereka yang memerlukan.

 

Terdapat dua jenis zakat, iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Zakat pendapatan termasuk dalam kategori zakat harta. 

 

Syarat-Syarat Zakat Pendapatan

 

Anda perlu menunaikan zakat pendatan jika anda mencukupi syarat-syarat di bawah ini:

 

Syarat #1: Beragama Islam

 

Zakat perlu dibayar oleh mereka yang beragama Islam sahaja. 

 

 

Syarat #2: Merdeka

 

Pengeluar zakat mestilah bebas mencari rezeki yang halal.

 

 

 

Syarat #3: Melepasi Syarat Kadar & Nisab Zakat Pendapatan

 

Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas dan kadar bayarannya ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan.  

 

 

Syarat #4: Memiliki Harta Sepenuhnya

 

Harta yang dizakatkan mestilah harta milik sendiri dan bukan pinjaman atau milik orang lain.

 

 

Syarat #5: Harta Mampu Memberi Pulangan

 

Harta tersebut mestilah boleh dikembangkan dan bukan harta yang susut nilai.

 

Perlukah Anda Menunaikan Zakat? 

 

Ya, jika gaji tahunan anda mencecah nisab zakat pendapatan.

 

Nisab zakat pendapatan tidak kekal dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Di Malaysia khususnya, setiap negeri mempunyai kadar nisab yang berbeza.

 

Sebagai contoh, kadar nisab buat Wilayah Persekutuan pada tahun 2022 ialah RM20,361, manakala kadar nisab buat Selangor ialah RM19,973. Untuk maklumat lanjut, kami sarankan anda untuk rujuk secara lansung menerusi portal pusat zakat negeri anda.

Kategori Pendapatan yang Termasuk dalam Pengiraan Zakat

 

Seterusnya, mari kita selami empat hasil pendapatan yang perlu dizakatkan pula! Rujuk jadual di bawah:

 

Jenis Hasil Pendapatan Penjelasan
Hasil penggajian dan upah kerja tahunan Hasil ini meliputi gaji, upah, elaun, bonus, tuntutan kerja lebih masa, pampasan, gratuiti, pencen, insentif, dan sebagainya.
Hasil kerja bebas dan professional tahunan Antara contoh hasil ini ialah bayaran atau keuntungan sesuatu projek, bayaran perkhidmatan konsultansi, komisyen, ‘residual income’, dan royalti.
Hasil daripada harta yang menghasilkan pendapatan Hasil jenis ini termasuk hasil sewaan aset seperti rumah, premis, kereta, dan sebagainya. Contoh lain ialah hasil produk ternakan seperti daging, telur, dan susu.
Hasil sumbangan atau pemberian Hasil ini merangkumi harta yang diperolehi melalui ihsan seperti saguhati, hadiah, sedekah, dan sebagainya. Harta ini boleh diterima daripada institusi atau individu.

 

Tetapi, tahukah anda terdapat juga harta yang tidak boleh dizakatkan? Harta ini melibatkan apa-apa hasil pendapatan yang mempunyai unsur tidak patuh shariah seperti riba ataupun harta syubhah (ragu-ragu). 

 

LIHAT LAGI: Buka Akaun Tabung Haji: Peroleh Pelbagai Manfaat Bersama Akaun Tabung Haji

Kelebihan Menunaikan Zakat: Rebat Cukai Pendapatan

 

Jadi, apa kelebihan menunaikan zakat pendapatan? Selain daripada menyucikan harta anda, terdapat satu kelebihan menarik: kemudahan rebat cukai pendapatan!

 

Mengikut Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, anda boleh menuntut rebat cukai untuk bayaran zakat yang anda tunaikan kepada pihak berkuasa agama pada tahun taksiran tersebut.

 

Senang kata, semakin banyak anda berzakat, semakin kuranglah kadar cukai pendapatan yang anda perlu bayar! Amaun maksimum rebat cukai pendapatan pula mengikut kadar cukai yang ditetapkan.

 

Jangan lupa untuk menuntut rebat cukai untuk kesemua bayaran zakat anda – fitrah dan pendapatan.  

 

Tetapi, jangan lupa untuk simpan resit-resit pembayaran zakat anda sebagai bukti pembayaran semasa proses pemfailan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jadi, Bagaimana Cara Kira Zakat Pendapatan?

 

Terdapat dua cara utama pengiraan zakat pendapatan. Anda boleh pilih kaedah yang sesuai dengan kemampuan.

 

Pengiraan Tanpa Tolakan 

 

Cara ini paling senang kerana anda hanya perlu darabkan jumlah pendapatan kasar tahunan anda dengan 2.5%. Jawapan yang anda dapat merupakan jumlah zakat yang perlu dibayar.

 

Pengiraan Dengan Tolakan

 

Buat cara ini, anda boleh menolak jumlah pendapatan kasar tahunan dengan perbelanjaan-perbelanjaan asasi yang dibenarkan. Justeru, jumlah yang perlu anda zakatkan ialah jumlah pendapatan (selepas pelepasan) x 2.5%.

 

Antara pelepasan yang dibenarkan ialah:

 

  • Perbelanjaan asas diri dan keluarga
  • Nafkah isteri
  • Pemberian kepada ibu bapa
  • Caruman KWSP
  • Caruman kepada institusi kewangan dan sebagainya yang membayar zakat bagi pihak pencarum seperti Tabung Haji

 

LIHAT LAGI: Mengapa Anda Perlu Mengambil Hibah Takaful

 

Bayar Zakat Pendapatan di Saluran yang Betul

 

Anda boleh bayar zakat melalui skim potongan gaji bulanan, atau secara fizikal di cawangan rasmi pusat zakat, kaunter bank atau ATM terpilih, pejabat pos, dan melalui ejen rasmi, Anda juga boleh bayar secara atas talian atau online di laman web rasmi pusat-pusat zakat dan perbankan internet seperti CIMB Clicks.

 

Kami harap artikel ini dapat menjadi panduan yang mudah dan informatif buat anda. Jika anda mahu lebih banyak tips kewangan yang menarik, layari laman halaman artikel kami di sini. 

 

 

 

Artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan CIMB tidak membuat sebarang representasi dan jaminan tentang ketepatan, kesempurnaan dan kesaksamaan sebarang maklumat yang terkandung dalam artikel ini. Oleh kerana artikel ini bersifat umum, ia tidak bertujuan untuk menangani keadaan mana-mana individu atau entiti tertentu. Anda dinasihatkan untuk berunding dengan penasihat kewangan atau profesional pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat yang terkandung dalam artikel ini. CIMB tidak bertanggungjawab untuk sebarang akibat yang timbul daripada pergantungan anda pada maklumat yang dibentangkan di sini.