Anda Berada Di

  • Matlamat Hidup
  • Perbankan Seharian Anda
  • Tawaran & Promosi
  • Perkhidmatan Digital
  • Bantuan & Sokongan
  • Pautan Segera

 

Pada zaman ini, masihkah relevan untuk anda buka akaun Tabung Haji sebagai instrumen untuk mengembangkan simpanan anda? Sudah semestinya! Di sini, kami kongsi kelebihan mempunyai akaun Tabung Haji dan bagaimana anda boleh mencarum wang ke Tabung Haji dengan senang melalui CIMB Clicks. 

 

Artikel ini juga sesuai bagi anda yang sudah ada akaun, tetapi tidak aktif mencarum. 

Modal Pembukaan Akaun Hanya RM2 

 

Bimbang mengenai jumlah deposit minima untuk pembukaan akaun? Jangan risau! Anda boleh buka akaun Tabung Haji dengan serendah RM2 sahaja.

Pembukaan akaun juga sangat mudah dan anda boleh menggunakan aplikasi Tabung Haji, THiJARI, untuk melihat simpanan anda.  

 

Kini, tiada lagi alasan untuk anda tidak buka akaun Tabung Haji! Anda boleh baca lebih lanjut mengenai terma dan syarat pembukaan akaun Tabung Haji di sini.

Simpanan Yang Dijamin dan Patuh Shariah

Masih tidak pasti untuk membuka akaun Tabung Haji? Apabila memilih akaun untuk menggadakan wang, anda harus mengetahui jika simpanan anda dijamin dan kadar dividen yang ditawarkan setanding dengan akaun-akaun lain. Tabung Haji menawarkan kedua-dua manfaat ini.

 

Dengan Tabung Haji, anda tidak perlu risau tentang simpanan anda kerana ianya dijamin 100% oleh kerajaan. Perkara ini selaras dengan Akta Tabung Haji 1995. Oleh itu, akaun Tabung Haji boleh menjadi medium terbaik untuk anda menyimpan wang kecemasan anda.

 

Untuk pengetahuan anda, Tabung Haji telah menggantikan konsep Al-Wadiah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan) kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah (wakil) pada 31 Disember 2019*.

 

Ini dilakukan untuk memberi dividen kepada pendeposit (termasuklah anda). Hal ini demikian kerana, para pendeposit akan diagihkan keuntungan tahunan hasil daripada pelaburan dan operasi haji yang dijalankan oleh Tabung Haji menerusi sistem Wakalah. Selain itu, pendeposit juga dapat terus menikmati kelebihan sedia ada.

 

Akaun Tabung Haji ini juga sudah semetestinya patuh shariah. Tabung Haji menjamin bahawa setiap perniagaan dan pelaburan yang dilakukan adalah berasaskan shariah. Hal ini diselia dan dikawal rapi oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah Tabung Haji.

 

Tiada Fi Pengurusan 

Tambahan pula, Tabung Haji tidak mengenakan apa-apa fi ataupun caj pengurusan kepada pendepositnya. Ya, anda boleh menerima semua kelebihan tanpa perlu bayar fi pengurusan tahunan.

 

Namun begitu, anda masih perlu membayar RM1 apabila menggunakan perkhidmatan agen-agen Tabung Haji. Sebagai contoh, deposit melalui perbankan Internet seperti CIMB Clicks atau melalui Mesin Teller Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) CIMB.

Memudahkan Urusan Haji

Tabung Haji ditubuhkan dengan tujuan untuk mempermudahkan urusan haji. Oleh itu, anda boleh membuat pendaftaran haji terbuka dengan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1995.

 

Untuk mendaftar Haji, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji anda. Anda juga boleh boleh membuat pendaftaran menggunakan penyata KWSP anda**.

Dividen dan Bonus Dikecualikan Cukai Pendapatan 

Semua dividen dan bonus yang anda perolehi adalah dikecualikan daripada cukai. Hal ini bermakna, anda tidak perlu mengisytiharkan pendapatan (dividen dan bonus) tersebut di dalam borang taksiran cukai pendapatan tahunan anda.

Zakat Simpanan Diuruskan Tabung Haji 

Sebagai seorang Muslim, anda wajib untuk mengeluarkan zakat simpanan apabila jumlah simpanan anda telah cukup jumlah (nisab) dan sudah sampai tempoh (haul). Sekiranya anda memenuhi dua syarat tersebut, maka anda wajib mengeluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5% daripada simpanan anda.

 

Tetapi, sebagai manusia, kadang-kala kita alpa tentang kewajipan membayar zakat dan terlepas menunaikan tanggungjawab. Di sinilah Tabung Haji dapat membantu anda.

 

Bagi pendeposit yang layak, Tabung Haji akan membayar zakat simpanan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mereka. Melalui cara ini, anda tidak perlu bimbang tentang kewajipan menunaikan zakat simpanan dan lebih ramai asnaf dapat dibantu serta disantuni.

Nikmati Proses yang Senang, Fleksibel, dan Jimat Masa Melalui CIMB Clicks 

Buat anda yang merupakan pelanggan CIMB, anda perlu buka akaun Tabung Haji sekarang! CIMB merupakan rakan strategik Tabung Haji, dan anda akan mendapat pelbagai kemudahan melalui hubungan ini.

 

CIMB  menyediakan kemudahan perkhidmatan Tabung Haji melalui CIMB Clicks. Hanya pautkan akaun Tabung Haji anda melalui CIMB Clicks dan nikmati proses yang senang, fleksibel, dan jimat masa.

 

Sila ikuti langkah di bawah untuk memautkan akaun Tabung Haji anda sebelum memulakan sebarang urusan:

 

  1. Log masuk ke dalam CIMB Clicks dan cari “Tabung Haji” di halaman “My Accounts
  2. Klik pada “Click ‘here’ to link your Tabung Haji Account”
  3. Masukkan nombor akaun Tabung Haji serta nombor kad debit CIMB
  4. Hantar dan isikan TAC untuk melengkapkan proses pautan.

 

Ataupun, anda boleh:

 

  1. Log masuk ke dalam CIMB Clicks dan pergi ke “Services”
  2. Klik pada butang “Account Linking”
  3. Pilih Tabung Haji
  4. Klik pada “Link Account”.

 

Melalui CIMB Clicks, anda boleh melakukan pertanyaan baki, memindahkan wang dari akaun CIMB ke akaun Tabung Haji anda secara “online” sepantas kilat. Anda juga boleh memindahkan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun CIMB sendiri. Selain itu, anda boleh lakukan transaksi secara “offline” di semua Mesin Teller Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) CIMB.

 

 

Jelaslah di sini bahawa keuntungan yang anda akan perolehi daripada membuka akaun Tabung Haji melebihi kekurangannya! Oleh itu, segera ke kaunter Tabung Haji berhampiran atau lakukan pendaftaran secara atas talian di thijari.com dan buka akaun Tabung Haji anda.

 

Anda rasa artikel ini membantu anda? Jika ya, jangan lupa untuk lihat lebih banyak artikel menarik di sini.

 

 

 

Artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan CIMB tidak membuat apa-apa representasi dan jaminan tentang ketepatan, kesempurnaan dan keadilan untuk apa-apa maklumat yang terkandung di dalam artikel ini. Oleh kerana artikel ini bersifat umum, ia tidak bertujuan untuk menangani keadaan mana-mana individu atau entiti tertentu. Anda dinasihatkan untuk berunding dengan penasihat kewangan atau pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat yang terkandung di dalam artikel ini. CIMB tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa akibat yang mungkin berlaku di atas kebergantungan anda terhadap maklumat yang dikemukakan di sini.

 

Sumber:

 

*https://www.sinarharian.com.my/article/63522/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Beri-nilai-tambah-manfaat-kepada-pendeposit

 

**https://www.tabunghaji.gov.my/en/hajj/general-info/hajj-registration-off