Bil hospital, kereta rosak, pembaikan rumah...begitu banyak kecemasan yang boleh berlaku di luar jangkaan kita. Apabila terjadi situasi begini, adakah dana anda mencukupi? 

 

Kerana itu simpanan tabung kecemasan penting - tanpa dana ini, anda mungkin perlu menambah hutang kad kredit, mengambil pembiayaan atau terpaksa menggunakan wang simpanan hari tua.   

 

Jadi, bagaimana cara untuk membina simpanan tabung kecemasan?

Pertama sekali, tabung kecemasan...

  • Bukan untuk pembelian dirancang seperti rumah, kereta baru, pendidikan anak dan lain-lain.
  • Tidak memerlukan jumlah yang besar - anda boleh bermula dengan hanya 10% daripada pendapatan bulanan anda.
  • Tidak mempunyai jumlah yang sama untuk semua orang - tabung anda bergantung pada pendapatan, gaya hidup dan perbelanjaan yang perlu untuk keluarga dan isi rumah.

Berapa banyak perlu anda simpan?

 

Tak kira sama ada anda bekerja atau telah bersara, anda sepatutnya perlu ada simpanan kecemasan yang boleh menampung hidup untuk sekurang-kurangnya enam atau lapan bulan sebagai jaring keselamatan.

Di mana boleh anda simpan tabung kecemasan?

 

Sesetengah orang menggunakan akaun pelaburan mereka sebagai dana di saat kecemasan. Tapi, itu tidak berapa tepat. Tabung kecemasan anda seeloknya perlu disimpan di dalam akaun yang:

 

  • Selamat daripada risiko pasaran. Supaya anda boleh pastikan duit anda mencukupi di saat anda memerlukannya. 
  • Mudah diakses. Agar anda boleh keluarkan duit dengan mudah.
  • Tetap mendapat keuntungan. Supaya wang kecemasan anda boleh digandakan untuk masa hadapan. 

 

Ada dua cara popular untuk simpan tabung kecemasan:
 

  • Akaun deposit tidak tetap/akaun simpanan kadar keuntungan tinggi
    Akaun deposit tidak tetap sama seperti akaun deposit tetap. Bezanya, akaun ini mempunyai fleksibiliti untuk anda membuat beberapa pengeluaran tanpa menjejaskan kadar keuntungan. 

    Jika anda ingin membuka akaun simpanan untuk tabung kecemasan, pastikan anda memilih akaun yang memberikan kadar keuntungan tinggi, tidak mempunyai yuran bulanan atau baki minimum. Anda juga boleh menggunakan pemindahan duit automatik setiap bulan ke dalam akaun ini untuk memudahkan anda membina simpanan kecemasan. 

 

  • Akaun deposit tetap
    Akaun deposit tetap memberikan kadar keuntungan yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa. Namun begitu, wang deposit anda tidak boleh dikeluarkan sebelum tempoh matang untuk anda menikmati kadar yang ditawarkan. 

 

Tabung kecemasan ini penting untuk ketenangan jiwa, dan untuk membolehkan anda bersedia untuk mengatasi apa-apa kecemasan yang tidak dijangka. Untuk permulaan, apa kata anda cuba menabung RM1,000 sahaja? Lambat-laun, tentu angka itu akan terus naik dan naik! 

 

Anda juga boleh berbincang bersama penasihat kewangan untuk mengetahui akaun yang paling sesuai untuk tabung kecemasan anda. Selamat menabung!

 

Artikel ini dibawa kepada anda oleh CIMB sebagai salah satu usaha berterusan untuk meningkatkan tahap peka kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Pengetahuan dan pemahaman kewangan adalah kunci dalam membuat keputusan kewangan yang bermakna dan tepat, sekaligus menambah baik kesejahteraan kita semua. Tujuan ini juga selaras dengan niat CIMB untuk memberi peningkatan kepada pelanggan dan masyarakat.