Anda Berada Di

  • Matlamat Hidup
  • Perbankan Seharian Anda
  • Perkhidmatan Digital
  • Promosi
  • Bantuan & Sokongan
  • Pautan Segera

 

Sebagai ibu bapa, ianya penting untuk memupuk tabiat menabung anak semenjak usia muda. Menurut laporan Cambridge University, tabiat kewangan boleh terbentuk seawal usia 7 tahun. Pengetahuan dan tabiat kewangan sihat boleh menolong anak anda celik duit - sehinggalah ke hari tua!

 

Tapi, bagaimana untuk menarik minat si kecil? Usah risau! Anda boleh mencuba 3 cabaran menyimpan wang ini: Cabaran Menabung, Cabaran Belanjawan Runcit dan Cabaran Wang 52-minggu yang cukup popular sekarang ini.  

 

Cabaran Menabung

(Disarankan untuk: Umur 3 - 12 tahun)

 

Bagi kanak-kanak cilik, lebih mudah untuk memupuk tabiat menabung yang lebih visual. Memperkenalkan: Tabung Wang! Anak anda boleh melihat wang mereka bertambah, belajar untuk berjimat dan memupuk semangat menderma. 

 

Bagaimana caranya? Sediakan 3 balang (jenis telus atau transparent) atau tabung dan kategorikan kepada 'Simpanan', 'Belanja' dan 'Derma'. Setiap kategori mewakili:

 

Tabung Simpanan: Untuk simpanan jangka panjang dan tidak boleh dikeluarkan.

 

Tabung Belanja: Si kecil mahukan sesuatu? Ajar anak anda untuk simpan wang dan gunakan wang tersebut untuk membeli mainan atau cokelat kegemaran. 

 

Tabung Derma: Simpanan untuk menolong rakan atau untuk kebajikan lain. 

 

Terangkan peranan setiap tabung ini dan didik mereka untuk membahagikan wang saku, duit Ang Pow atau duit Hari Raya kepada tiga kategori di atas. 

 

 

Di mana untuk simpan wang yang dikumpul? 

 

Sebaik sahaja tabung simpanan penuh, sudah tiba masanya untuk memindahkan simpanan mereka ke bank. Jadikan ini aktiviti keluarga dan bawa anak-anak anda ke bank dan buka akaun simpanan kanak-kanak bersama.

 

Selain itu, simpanan di dalam bank juga boleh lebih berbunga dengan kadar faedah atau kadar keuntungan. Mulakan aktiviti menabung bersama anak anda hari ini!

 

Ingin melihat produk yang ditawarkan oleh CIMB? Layari pilihan akaun simpanan junior kami di sini. 

Cabaran Belanjawan Runcit 

(Disarankan untuk: Umur 12 - 17 tahun)

 

Selain menabung, kita juga perlu pandai berjimat-cermat apabila berbelanja.  Cabaran Belanjawan Runcit ini menggalakkan anak anda untuk mengambil bahagian dalam belanjawan membeli-belah runcit mingguan atau bulanan.  

 

Dengan cabaran ini, anda memberi amanah untuk mereka menyenaraikan barangan keperluan dan bukan keperluan, tetapkan bajet dan kemudian berikan wang tunai kepada mereka. Ini akan memberi anak anda pengalaman membuat pilihan berbelanja secara berhemah.

 

Anda juga perlu meluangkan masa untuk menerangkan tentang tawaran, jenama dan bagaimana mereka boleh memaksimumkan penjimatan barangan runcit. Sebagai contoh, patutkah mereka memilih jenama jus oren terkenal yang berharga RM6, atau jenama lain yang berharga RM3? 

 

Selepas habis membeli-belah, anda boleh duduk bersama dan lihat bajet yang diberikan. Adakah mereka terlebih berbelanja, atau ada baki? Baki itu boleh digunakan untuk tabung simpanan anak - supaya mereka lebih semangat untuk berjimat di masa depan!

 

 

Di mana untuk simpan wang yang dikumpul?

 

Walaupun ada pelbagai akaun simpanan junior di Malaysia, terdapat beberapa akaun yang khas untuk para remaja, seperti Akaun CIMB YOUth Savers dan CIMB YOUth Savers Account-i untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas. Akaun ini memberi manfaat seperti insentif bonus dan kad debit. Ini memberikan anda peluang untuk mendidik anak mengenai tanggungjawab memiliki dan berbelanja menggunakan kad debit. 

 

Cabaran Wang 52-minggu

(Disarankan untuk: Umur 15 - 18 tahun)

 

Cabaran Wang 52-Minggu adalah kaedah menyimpan wang yang boleh memberi motivasi untuk anak anda terus menabung bermula awal tahun.

Bak kata pepatah "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit", cabaran ini menggalakkan kita untuk membina tabungan bermula dari jumlah yang kecil.   

 

Cabaran ini popular di kalangan orang dewasa juga! Bagi remaja, ia membantu mereka untuk memupuk tabiat jangka panjang dan mengelak perbelanjaan impulsif.

 

Caranya senang sahaja. Mula menabung RM1 untuk minggu pertama, RM2 untuk minggu ke-2, RM3 untuk minggu ke-3 dan seterusnya sehingga berjaya menabung RM52 untuk minggu ke-52. 

 

Menjelang akhir cabaran, mereka akan mempunyai jumlah simpanan sebanyak RM1,378! Cabaran ini adalah cara terbaik untuk para remaja mempelajari cara menguruskan elaun atau gaji kerja sambilan untuk mendapatkan jumlah yang disasarkan untuk minggu tersebut.

 

Di mana untuk simpan wang yang dikumpul? 

 

Bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun, akaun pilihan di atas boleh digunakan. Tapi apabila anak anda mencecah umur 18 tahun, mereka boleh  membuka akaun simpanan sendiri dan meneruskan cabaran ini pada tahun-tahun akan datang.

 

Sebagai alternatif, anda juga boleh membuka akaun SSPN (yang layak untuk pelepasan cukai*), atau akaun pelaburan / dana amanah berisiko rendah untuk masa depan anak anda.

 

Mungkin apabila mereka sudah mula bekerja nanti, bolehlah mencuba cabaran ini menggunakan jumlah yang lebih besar setiap minggu selama 52 minggu.

 

Memerlukan pilihan untuk akaun simpanan atau akaun pelaburan yang sesuai untuk remaja anda? Anda boleh menyemak imbas produk deposit kami di sini dan pilihan pelaburan di sini.

 

 

 

Ada pelbagai lagi aktiviti yang menyeronokkan untuk memupuk semangat menabung di dalam diri kanak-kanak. Walaupun tips-tips di atas dikategorikan mengikut setiap kumpulan umur yang disyorkan, anda juga boleh turut mengambil bahagian dan menjadikan ini sebagai aktiviti seluruh keluarga. 

 

Ingat, memupuk tabiat kewangan mengambil masa, lagi-lagi pada kanak-kanak muda. Jadi, disiplin diri juga memainkan faktor di sini. Ia mungkin sukar pada mulanya tetapi sentiasa berusaha untuk menyokong usaha anak-anak - asalkan mereka berjaya menabung.  Selamat mencuba!  

 

Artikel ini dibawa kepada anda oleh CIMB sebagai salah satu usaha berterusan untuk meningkatkan tahap peka kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Pengetahuan dan pemahaman kewangan adalah kunci dalam membuat keputusan kewangan yang bermakna dan tepat, sekaligus menambah baik kesejahteraan kita semua. Tujuan ini juga selaras dengan niat CIMB untuk memberi peningkatan kepada pelanggan dan masyarakat.

 

Sumber:

 

*https://www.thestar.com.my/news/education/2020/11/30/sspn-offers-up-to-rm8000-tax-relief