Ingin langsaikan hutang yang banyak? Dari hutang kad kredit, overdraf, pinjaman peribadi, PTPTN, dan pinjaman rumah dan kereta - pembayaran hutang boleh menjadi beban. Tapi semua ini boleh diselesaikan dengan strategi pengurusan hutang yang betul.

 

Bebas dari hutang adalah satu sasaran jangka masa panjang, tapi anda boleh mula merancang pelan pengurusan hutang dengan 4 tips ini:

1. Tetapkan sasaran jelas untuk bayar semua hutang

 

Langkah pertama pengurusan hutang: ketahui situasi hutang semasa. Dapatkan laporan kredit yang memberikan gambaran baki tertunggak semasa, bilangan pinjaman dan had kredit anda. Ini boleh membantu anda untuk melihat keseluruhan pinjaman dan sejarah pinjaman anda.

 

Di Malaysia, anda boleh mohon laporan CCRIS dari Bank Negara atau laporan CTOS dari CTOS Malaysia, satu Agensi Pelaporan Kredit swasta.

 

Kemudian, anda boleh putuskan berapa lama anda perlukan untuk bayar semua hutan, sama ada 5 tahun, 10 tahun, atau lebih lama.

2. Pertimbangkan penyatuan atau pembiayaan semula hutang

Penyatuan hutang adalah satu kaedah pengumpulan semua pinjaman menjadi satu pembayaran tunggal dengan kadar faedah lebih rendah. Ada dua cara utama untuk menyatukan hutang: pinjaman penyatuan hutang dan pemindahan baki kad kredit.

 

Pinjaman penyatuan hutang rendah faedah bermanfaat untuk menyatukan beberapa pinjaman tinggi faedah seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini boleh membantu untuk merendahkan ansuran dan kadar faedah bulanan yang terkumpul.

 

Untuk kad kredit, satu pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah pemindahan baki - bermakna baki kad kredit sedia ada dipindahkan ke kad kredit lain atau bank lain dengan kadar faedah lebih rendah, seperti CIMB Balance Transfer, yang menawarkan kadar faedah serendah dari 0.5% setiap bulan untuk selama 6 bulan.

 

Jika anda ada gadai janji perumahan, pertimbangkan untuk biayai semula rumah anda, kerana ia boleh merendahkan kadar faedah.

 

3. Tetapkan peringatan pembayaran

Elakkan daripada terkena caj bayaran lewat (caj 1% boleh dikenakan untuk baki kad tertunggak!) dengan menetapkan peringatan dalam smartphone atau komputer.

4. Mana satu yang perlu saya bayar dahulu?

Ingin menggunakan simpanan anda untuk melunaskan hutang? Ini dua strategi popular yang sering digunakan: 

 

  • Bayar pinjaman yang berbaki paling rendah, sambil kekalkan bayaran minimum untuk pinjaman lain.

 

  • Fokus bayar pinjaman dengan kadar faedah paling tinggi dan teruskan bayaran minimum untuk pinjaman lain.

 

Tetapi mana satu yang sesuai untuk anda? Mudah saja, pilih penyelesaian yang tidak mengganggu gaya hidup sambil mengekalkan tahap motivasi anda untuk terus menguruskan hutang.

 

Perkara utama untuk anda ingat adalah proses melangsaikan hutang memang mengambil masa, oleh itu amat penting untuk anda kekalkan disiplin dan amalkan tabiat pengurusan duit yang baik secara konsisten agar bajet anda tidak lari.

 

Artikel ini dibawa kepada anda oleh CIMB sebagai salah satu usaha berterusan untuk meningkatkan tahap peka kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Pengetahuan dan pemahaman kewangan adalah kunci dalam membuat keputusan kewangan yang bermakna dan tepat, sekaligus menambah baik kesejahteraan kita semua. Tujuan ini juga selaras dengan niat CIMB untuk memberi peningkatan kepada pelanggan dan masyarakat.